Oleh: Aida Aziz

‘MIKER’ – ganti nama dalam loghat Perak Tengah bagi orang kedua – awak, kamu atau kau, kini bukan sekadar panggilan tetapi telah menjadi satu jenama Made in Perak hasil idea seorang anak muda yang berpandangan jauh.


Dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Belia Negeri Perak (Keusahawanan), Mohd. Amzari Zamri, 36, kini boleh berbangga apabila jenama Miker semakin dikenali dan menjadi buah mulut wargakota Ipoh serta pengunjung-pengunjungnya.


Pemilihan ganti nama Miker yang begitu sinonim dengan nuansa dan identiti Peraknya merupakan strategi menjadi buat Amzari kerana perkataan itu mudah diingati oleh orang Perak, malah rakyat Malaysia juga tahu mengenai ganti nama Miker melalui karya kreatif bernuansakan Perak.

Bagi Amzari, pemilihan Miker bukan sekadar untuk menjenamakan identiti Perak dalam menu makanan di restoran dan kedai pizanya tetapi ia melampaui segenap aspek penjenamaan dan identiti perniagaannya.


Bercakap kepada Suara Perak, baru-baru ini, Amzari berkata, walaupun memulakan kariernya dengan makan gaji dalam bidang media, beliau berani terjun dan beralih ke sektor perusahaan makanan kerana minat yang mendalam untuk menjadi seorang usahawan berjaya.

“Saya berminat dengan dunia keusahawanan sejak sekolah rendah lagi, malah saya selalu menolong emak menjual kerongsang dan butang baju Melayu dari rumah ke rumah.


“Saya menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang percetakan dan periklanan termasuk bekerja sebagai pengamal media.


“Hampir tujuh tahun saya mencari keberanian dan akhirnya pada tahun 2016, saya membuka kedai makan dan wujudlah Miker Food di Padang Ipoh,” katanya.


Amzari berkata, pada peringkat permulaannya, beliau berfikir untuk berniaga secara santai sahaja dan mencari kakitangan dari kalangan rakan-rakannya.


“Tetapi, apabila melihat kepada penerimaan baik orang ramai termasuk pengunjung dari luar Perak, ia membuatkan saya bertekad mahu memperluaskan legasi kedai makan jenama Miker ini,” katanya.


Kini, selain Miker Food, Amzari berkolaborasi dengan rakan kongsinya untuk memulakan rangkaian kedai piza iaitu Miker Pizza yang telah pun mempunyai dua cawangan di Ipoh.

Rahsia usahawan berjaya


Melihat kepada usianya yang masih muda, sukar untuk menebak rahsia kejayaan beliau dalam perniagaannya, namun Amzari tidak lokek mencurahkan petua, dan katanya, perkara asas untuk menjadi seorang usahawan berjaya ialah dengan membantu orang lain.

Katanya, tidak akan jatuh miskin seseorang itu jika memberi atau menghulurkan bantuan kepada orang lain, malah dengan cara itu sekaligus dapat membantu orang sekeliling.


“Sebenarnya kita kena membantu orang sekeliling kita, bagi apa yang kita boleh untuk membantu usahawan lain dan masyarakat. Insya-Allah, pada masa sama, bisnes kita sendiri akan naik,” ujarnya.


Pesan beliau, seseorang itu tidak boleh bekerja atau bersikap “sambil lalu” dalam apa jua pekerjaan atau perniagaan yang diceburi sebaliknya mengambil teladan daripada kejayaan sesebuah francais dan menerapkannya dalam perniagaan sendiri.


“Jadikan ia contoh, baik dari segi komunikasi dengan pelanggan, layanan dan sistem yang digunakan. (Kita buktikan) walaupun kita orang muda tetapi boleh setanding dengan mereka,” katanya.


Sehingga kini, bapa kepada tiga orang anak ini berupaya menggaji 50 orang pekerja meliputi semua rangkaian perniagaannya yang bertapak di Ipoh.

Menu ‘signature’ di Miker Food


Makanan yang sering meniti di bibir pengunjung Miker Food ialah piza dan tomyam kelapa, dengan ulasan pelanggan di media sosial yang sudah menikmati hidangan ini begitu memberangsangkan.


Lokasi kedai yang terletak di Padang Ipoh juga sangat strategik kerana orang ramai boleh bersantai sambil menikmati makanan, khususnya bagi mereka yang datang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.


Amzari berkata, dia dan rakan kongsi sedang merancang untuk memperkenalkan jenama Miker Pizza dengan membuka cawangan di Gunung Rapat dan seterusnya memperluaskan rangkaian kedai pizalokal itu ke seluruh negeri.