IPOH: Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memperkenalkan sistem iHaq untuk membantu usahawan memahami keperluan di dalam pensijilan halal.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin, iHaq yang dibangunkan dengan kerjasama Digital Perak Corporation Holdings adalah sistem saringan awal pensijilan halal yang dikenali sebagai iHaq.

Menurutnya, sebelum mereka menggunakan sistem permohonan pensijilan halal Malaysia iaitu MyeHALAL.

“Pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan bagi membantu ushawan-usahawan bumiputra untuk memperolehi sijil pengesahan halal,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Asmuni Awi (Amanah – Manjoi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Mohd Akmal berkata, JAIPk sentiasa mengadakan promosi dan kempen berkaitan kepentingan pensijilan halal melalui pelbagai medium.

Antaranya, kata beliau, melalui slot pameran samada anjuran jabatan atau anjuran agensi lain, yang merupakan salah satu platform untuk pihak usahawan memperolehi pelbagai informasi berkaitan pensijilan halal.

“Sekiranya mereka mempunyai pelbagai persoalan, maka mereka boleh berhubung secara terus dengan wakil daripada jabatan yang bertugas di pameran tersebut,” ujarnya.

Menurut Mohd Akmal, di samping itu, JAIPk juga sering berhubung dengan agensi -agensi yang memberikan khidmat bimbingan kepada usahawan di dalam memajukan perusahaan mereka.

Katanya, melalui jalinan kerjasama seperti itu, pelbagai masalah mahupun persoalan berkaitan pensijilan halal yang melibatkan usahawan dapat dikaji oleh jabatan dengan lebih terperinci.

“Jabatan ini juga sentiasa terbuka memberikan konsultasi secara langsung kepada setiap usahawan yang mempunyai masalah di
dalam permohonan pensijilan halal.

“Manfaat daripada kerjasama yang diwujudkan ini dapat membantu pihak agensi dan usahawan untuk memahami keperluan pensijilan halal Malaysia dengan lebih baik,” ujarnya.

Beliau menambah, berikutan penularan pandemik wabak COVID 19 yang semakin meningkat, JAIPk telah mengambil inisiatif secara maya, di mana media massa dijadikan sebagai salah satu medium untuk jabatan berhubung dengan setiap pemohon pensijilan halal.

Antaranya, kata beliau, informasi berkaitan pensijilan halal sentiasa dikemaskini di laman facebook Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak bagi membantu usahawan mendapatkan input berkaitan pensijilan halal.

Mohd Akmal berkata, mereka juga digalakkan untuk berurusan melalui telefon atau melalui email jabatan bagi
mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19.

Katanya, bagi memantapkan lagi standard dan peraturan-peraturan berkaitan pensijilan halal, JAIPk dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan JAKIM telah membangun dan menambahbaik Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Hasilnya, kata beliau, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 telah berjaya dibangunkan dan pemakaian manual ini akan berkuatkuasa pada tahun 2021.

Tambahnya, dengan pembangunan dan penambahbaikan manual itu, pemohon akan mendapat input yang lebih jelas dan terperinci mengenai keperluan pensijilan halal Malaysia.

“Hal ini dapat membantu mereka untuk terus komited dengan prosedur pensijilan halal Malaysia. Di samping itu, skim baru telah diperkenalkan iaitu skim peranti perubatan.

“Melalui skim ini, usahawan yang terlibat secara langsung dengan pengeluaran produk peranti perubatan boleh membuat permohonan pensijilan halal,” ujarnya.