IKAN LOMA tidaklah begitu popular untuk dijadikan hidangan utama, baik di rumah mahupun di kedai-kedai makan, tidak seperti ikan air tawar lain yang menjadi pilihan ramai termasuk tilapia, haruan dan keli.

Isinya yang tidak banyak dan mempunyai tulang halus menjadi faktor mengapa ikan dengan nama saintifik thynnichthys thynnoides  itu kurang sesuai dimasak berlauk, lebih baik digoreng garing dan dimakan rangup-rangup.

Tahukah anda, jika ikan ini diolah menjadi pekasam, ia pasti mendapat permintaan tinggi kerana ikan loma pekasam enak dimakan dengan nasi panas-panas atau diratah begitu sahaja.

Maka, ketibaan musim tengkujuh yang kebiasaannya bermula pada bulan September hingga penghujung tahun sentiasa dinanti-nantikan oleh penggemar ikan loma yang tertunggu-tunggu kehadiran ikan itu di Sungai Rui, Gerik.

Sungai Rui, kira-kira lima kilometer dari pekan Gerik, Perak terletak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik – Jeli melalui jalan lama Kampung Bandariang, sentiasa dibanjiri penduduk untuk menangkap ikan  loma.

Ikan Mudik Ke Hulu

Penghulu Mukim Gerik, Abdul Rahman Mohd Tahir berkata, ikan ini sebenarnya dalam perjalanan mudik ke hulu Sungai Rui dari Sungai Perak untuk bertelur.

Katanya, ikan loma biasanya digoreng garing kerana ia dari jenis ikan sungai yang banyak tulang halus. Sifatnya itu menjadikan ia tidak sesuai dibuat gulai dan dicari-cari untuk dijeruk menjadi pekasam.

“Musim tengkujuh dikenali sebagai musim ikan loma bertelur. Apabila tiba musim ikan loma, sudah jadi macam pesta di sini apabila ramai orang datang menyauk ikan di Dataran Loma. Mereka datang bukan sahaja dari Gerik tetapi luar Perak pun ada.

“Ikan loma banyak di Sungai Perak, ada juga di Lenggong tetapi ia memang cukup terkenal di Gerik. Uniknya ikan ini tidak makan umpan pancing dan hanya boleh ditangkap dengan cara menjaring, menjala ataupun menyauk,” katanya.

Beliau ditemui Suara Perak pada Pertandingan Rakit dan Pesta Loma Dewan Undangan negeri (DUN) Temengor, baru-baru ini.

Menyauk, Menyiang dan Memasak

Abdul Rahman berkata, program sukan sungai yang dianjurkan itu turut dimeriahkan dengan pertandingan membina rakit dan berkayak di Dataran Loma Sungai Kuala Rui.

Katanya, ia adalah sebagai simbolik kepada perpaduan dan hubungan silaturrahim sesama peserta.

“Peserta akan menyauk dan menyiang ikan loma, seterusnya memasak ikan itu mengikut kreativiti masing-masing di rumah, kemudian akan dibawa ke lokasi pertandingan untuk dirasa oleh para juri.

“Selain program ini, kami juga memasak ikan loma dan nasi untuk pengunjung yang datang, mereka boleh menikmati hidangan ini secara percuma,” katanya.

Program Pelancongan di Perak

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temengor, Salbiah Mohamed berkata, keistimewaan yang ada di Sungai Rui turut menjadi tarikan pelancong saban tahun.

Menurutnya, meskipun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19, namun ia tidak menjadi penghalang untuk mereka bersama-sama berkumpul bagi meneruskan tradisi itu.

Bagaimanapun, ia wajib menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

“Penganjur telah memberikan syarat kepada semua peserta dan pengunjung supaya mematuhi SOP, kita dapat lihat sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Pesta ini dapat membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali Gerik khususnya dan negeri Perak amnya. Ikan loma ini juga begitu sinonim dengan industri pekasam di sini,” ujarnya.