KUALA LUMPUR : Selepas bersara, jaguh badminton dunia dan negara, Datuk Lee Chong Wei semakin aktif dalam Facebook dan status dimuat naiknya sering kali mencuri tumpuan netizen.

Terbaharu, Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan COVID-19.

“Kawan-kawan, kes semakin banyak. Ingat mesti pakai mask (pelitup muka) bila keluar.

“Ikut SOP. Scan (imbas) MySejahtera. Jangan sampai kena sebat!” tulis beliau.

Ringkas namun status tersebut jelas mendapat perhatian netizen kerana hanya selepas sejam dimuat naik ia sudah mendapat lebih 12,000 ‘likes’.

Ramai berasakan ‘sebat’ dimaksudkan Chong Wei ada kaitan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 pada Selasa.

Muhyiddin dalam perutusan itu semalam berkata: “Maaflah jika Abah ini mula menggunakan ‘rotan’!”

Katanya, selepas ini hukuman kompaun akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat terhadap mereka yang melanggar SOP berkaitan COVID-19.

Tambahnya, petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan.

“Marilah kita hadapi perang menentang COVID-19 secara bersama. Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan COVID-19 sebelum ini.

“Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi. Insya-Allah, kita doakan mudah-mudahan kita semua akan menang akhirnya,” katanya.