ALOR SETAR: Enam lelaki warga asing yang sedang leka menyiapkan kerja pengubahsuaian rumah di dua lokasi berasingan terkejut selepas diserbu penguat kuasa imigresen dalam Op Mega semalam.

Tiga warga Bangladesh dan tiga warga Myanmar itu antara 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diberkas Jabatan Imigresen negeri di Taman Lam Sun dan Taman Setia Berjaya, dekat sini.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula jam 3.30 petang itu, pihaknya memeriksa 28 warga asing serta 11 warga tempatan membabitkan tujuh lokasi berasingan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mengesan 14 warga asing terdiri tujuh lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Nepal dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 19 hingga 45 tahun melakukan kesalahan imigresen.

Katanya, dalam serbuan pertama di Taman Lam Sun, masing-masing seorang lelaki warga Myanmar dan Bangladesh ditahan ketika bekerja diikuti lokasi kedua di Taman Setia Berjaya dua lelaki Myanmar dan dua lelaki Bangladesh ditahan ketika mengubahsuai rumah.

“Kemudian, tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal dan seorang lelaki Myanmar diberkas ketika pemeriksaan dijalankan di tiga premis perniagaan sekitar Jalan Tunku Ibrahim dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Selain itu, turut ditahan seorang wanita warga Indonesia yang sedang menunggu bas di hentian bas hadapan Kompleks Pekan Rabu dekat sini selepas didapati melakukan kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Zuhair berkata, 14 PATI yang ditahan itu dikesan melakukan kesalahan tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut – berita harian

1/2