IPOH: Hasrat dan impian seorang nenek, Za Said, 80, berpeluang merasai keseronokkan menaiki pesawat buat kali pertama dalam hidupnya akhirnya menjadi kenyataan.

Impian beliau itu telah mendapat perhatian pihak Alumni Sekolah Menengah Raja Perempuan Kelsom yang menganjurkan satu percutian menginap dua malam di Hotel Jen – Shangrila, Johor Baharu yang bermula hari ini (Sabtu).

”Suka sangat Opah rasa, Tuhan saja yang tahu sudah lama Opah nak merasa sangat  naik kapal terbang. Tuhan yang bagi rezeki.

2af467ab-32f8-4cbe-8bfe-7c036dc71921

”Opah bukan bawa duit banyak cuma pakaian dan sedikit duit saja dan terima kasih opah ucapkan kepada ALUMNI Sekolah Menengah Raja Perempuan Kelsom kerana penuhi hajat opah,” katanya yang berasal dari Kampung Lempor, Kuala Kangsar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum berlepas ke Johor Baharu menaiki pesawat Melindo Air dilapangan terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh tengahari tadi.

Turut berada bersama Nenek Za ialah Penaung alumni, Yang Amat Mulia Raja Puan Mahkota Perak Raja Dato’ Seri Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah.

Nenek Za yang ditemani Bendahari alumni sekolah itu, Nora Shaw berlepas ke Johor Baharu pada jam 1.50 petang dan dijangka tiba jam 3.00 petang.  Ketibaan beliau disana akan disambut oleh Presiden alumni berkenaan, Mabel Muttiah.

Menurut Nenek Za yang juga seorang bekas penoreh getah, beliau sememangnya menyimpan hasrat untuk menunaikan haji tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi dan sudah tidak bekerja.

”Kalau ada orang ingin membantu menunaikan impian Opah ini, Alhamdulillah lah,” ujarnya.

Sementara itu menurut bendahari alumni berkenaan,  Nora berkata selama dua hari di sana nenek Nora akan dibawa bersiaran menaiki sebuah kapal mewah ‘Black Pear’ selain menikmati kemudahan penginapan dan makanan yang selesa.

”Nenek Za akan pulang ke Ipoh pada 3 April ini,” katanya.

Menurut Nora, beliau telah ditemui oleh Nenek Za kira-kira sebulan yang lalu dimana warga emas itu memaklumkan impiannya untuk menaiki kapal terbang dan merasai suasana berada dalam kapal terbang untuk kali pertama dalam hidupnya.

”Saya telah memaklumkan impian Nenek Za itu kepada alumni dan akhirnya kami bersetuju untuk memenuhi hajatnya,” katanya.