IPOH: Guru tadika, M. Indira Gandhi berharap pihak polis dapat bertindak segera mengesan dan membawa anak bongsunya, Prasana Diksa pulang ke pangkuannya secepat mungkin.

 

Menurutnya, sejak keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan Isnin lalu, dia masih belum mendengar sebarang khabar berita daripada pihak polis.

 

Menurut Indira, keputusan mahkamah itu jelas memutuskan supaya bekas suaminya, seorang muallaf, Muhammad Riduan Abdullah menyerahkan Prasana Diksa kepadanya.

 

“Berapa lama lagi saya harus menanti. Sebagai ibu, saya ingin memeluknya dan saya tidak ada gambaran mengenai wajahnya sekarang. Apa yang ada hanyalah kenangan ketika zaman kecilnya tetapi sekarang dia telah berusia kira-kira 10 tahun,” katanya dalam sidang media bersama-sama Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP di Bercham, dekat sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada Isnin menyampaikan penghakiman yang bersejarah apabila memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Panel lima hakim yang disidangi oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum an hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak Indira oleh bekas suaminya.

Polis percaya Muhammad Riduan, yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya M. Indira Gandhi masih berada dalam negara.

 

Hasil semakan polis dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod keluar negara daripada lelaki itu dan anaknya.

 

Sementara itu, Lim Kit Siang mempersoalkan bagaimanapun di sebaliknya pelbagai kemudahan yang ada, pihak polis masih gagal menemukan anak bongsu Indira.