BAGAN SERAI: Semua individu yang berada di dalam program bersama Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diminta segera tampil untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berjata, langkah segera itu perlu bagi memastikan status mereka selepas Menteri Hal Ehwal Agama itu disahkan positif COVID-19.

Menurutnya, kontak rapat dengan menteri itu memang akan dipanggil terus untuk membuat saringan.

“Yang lain-lain yang jauh-jauh tu mereka mestilah serah dirilah mesti datang tampil ke depan untuk buat saringan dan pemeriksaan.

“Begitu juga contohnya kes mesyuarat yang baru-baru ni, mereka yang kontak rapat tu dikenakan pengasingan, dikenakan kuarantin 14 hari, kena pakai gelang tetapi yang jauh-jauh dalam mesyuarat tu, maka mereka ni dibuat swap test dan kuarantin kendiri, jangan campur dengan orang lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian agihan keuntungan Ladang Rakyat Daerah Kerian tahun 2020 di Dewan Komuniti Bagan Serai, di sini, hari ini.

Pada Isnin, Dr Zukifli mengesahkan beliau positif COVID-19 dan kini menjalani rawatan.

Beliau menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.