KUALA LUMPUR : Polis tidak menolak kemungkinan pemilik akaun Facebook yang mengunakan nama Wendy Loong dan memuat naik hantaran laman sosial yang menghina Nabi Muhammad S.A.W menggunakan akaun palsu.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata kemungkinan individu berkenaan menggunaan akaun Facebook palsu dan sehingga kini polis masih giat menjalankan siasatan berhubung perkara terbabit.

“Besar kemungkinan ia menggunakan akaun Facebook palsu, besar kemungkinan… kalau tidak kita mesti kita sudah dapat tahu lama dah.

“Perkara ini (perbuatan ) ini di alam maya, jadi ia ambil masa sedikit, kena lihat dari sudut teknikal, sumbernya dari mana, Apapun siasatan sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Awam (UA) KE -15 di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang hari ini.

Setakat ini polis menerima lebih dari 400 laporan polis berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.

Sebelum ini tular di laman sosial facebook berhubung satu akaun Facebook menggunakan nama seorang wanita dan telah memuat naik satu gambar yang dikatakan menghina Agama Islam dan Nabi Muhammad.

Sementara itu Mazlan berkata seramai 1,167 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) dari 20 universiti awam menerima sijil pengtauliahan itu.

Mazlan berkata sukatan (silivers) bagi SUKSIS dalam pembelajaran akan digubal dan dimasukkan beberapa undang-undang baharu dalam subjek bagi pelatih SUKSIS.

“Jika sebelum ini siliversnya yang lama kita masih ada undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ISA sudah dimansuhkan jadi kita akan masukkan pembelajaran undang-undang yang baharu yang lain seperti SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012), POCA (Akta Pencegahan Jenayah ).

“Undang-undang ini kita telah gubal dan masih belum dimasukkan dalam silivers. Pendekatan ini akan kita gunakan bagi membolehkan SUKSIS memperoleh lebih banyak ilmiah dalam bidang undang-undang,” katanya.

-BERNAMA