JAKARTA: Indonesia menyalahkan 4 syarikat dari Malaysia termasuk pengeluar minyak sawit terbesar di dunia sebagai punca kebakaran hutan di negara itu, yang membawa kepada keadaan berjerebu di rantau ini.

Malaysia menegaskan Indonesia bertanggungjawab terhadap jerebu yang mengakibatkan kualiti udara jatuh ke tahap yang tidak sihat di beberapa bahagian negara ini. Indonesia menafikan dakwaan itu dengan mengatakan kebakaran di Malaysia yang menyebabkan pencemaran udara.

Hari ini, Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata, Malaysia tidak mendapat gambaran sebenar mengenai kebakaran yang menjejaskan Sumatera dan Borneo sejak lebih sebulan lalu.

Sekurang-kurangnya 4 syarikat ladang sawit yang tanahnya telah disita kerana kebakaran merupakan anak syarikat Malaysia, kata Siti Nurbaya kepada Reuters.

Beliau menamakan Sime Indo Agro yang berpangkalan di Kalimantan Barat, anak syarikat Sime Darby Plantations; Sukses Karya Sawit, milik IOI Corporation; Rafi Kamajaya Abadi, unit dipunyai TDM Berhad dan Adei Plantation and Industry yang berpangkalan di Riau, sebuah mili Kuala Lumpur Kepong Group.

Kerajaan Indonesia berkata ia telah menyita tanah milik sekurang-kurangnya 30 syarikat dan 4 daripadanya telah dibawa ke mahkamah.

Sime Darby adalah ladang kelapa sawit terbesar di dunia dan pengeluar terbesar minyak sawit yang mampan.

Jurucakap Minamas Plantation, sebuah unit Sime Darby di Jakarta yang mengendalikan operasi Indonesia, berkata ia menyedari ladangnya telah disita dan ia sedang mengawasi kawasan yang terlibat dalam kebakaran.

Kedua-dua Sime Darby dan IOI berkata pihaknya sedang memeriksa operasi mereka di Indonesia. Sukses Karya Sawit, Rafi Kamajaya Abadi dan Ladang dan Industri Adei tidak dapat dihubungi.

Kuala Lumpur Kepong dan TDM Berhad, yang dimiliki oleh negeri Terengganu tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memberitahu Reuters, Jakarta harus mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebabkan kebakaran itu.

Pada Khamis, Yeo berkata data dari Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) jelas menunjukkan bahawa negara jiran itu bertanggungjawab terhadap jerebu yang melanda negara pada masa ini.

“Biarkan data sendiri yang berkata-kata. Menteri Siti Nurbaya tidak harus berada dalam penafian,” katanya.

Yeo berkata demikian berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Siti Nurbaya seperti yang dilaporkan oleh media tempatan mengatakan bahawa Malaysia menghantar surat protes menuduh Indonesia menyebabkan jerebu di Malaysia.

Menteri itu juga dilaporkan menulis surat kepada Duta Besar Malaysia ke Indonesia Zainal Abidin Bakar yang meminta penjelasan mengenai perkara itu.