KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mengesan Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang dipercayai melarikan diri ke negara jiran itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis mahu menyelesaikan segera tugas itu tetapi beberapa proses perlu dipatuhi.


“Kalau boleh hari ini kita hendak tangkap (Jamal), tetapi proses dan prosedur itu mesti dipatuhi.

“Ketua Polis Negara sudah maklumkan kepada saya, usaha sudah dibuat dengan memaklumkan mengenai perkara berkenaan kepada pihak polis Indonesia.

“Saya berharap agar kerjasama dapat diberikan bagi memastikan individu yang disebutkan tadi dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas mengenai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman pula, Muhyiddin berkata, pemimpin itu juga sedang dicari selepas ada laporan polis terhadapnya di Sabah.

“Memang dia antara individu yang kita cari kerana ada laporan polis yang dibuat terhadapnya atas apa yang berlaku di Sabah.

“Polis akan cari dan kesan beliau dan sebaik sahaja ditemui kita akan bawa pulang untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Kehilangan kedua-dua individu terbabit menimbulkan tanda tanya apabila Jabatan Imigresen sebelum ini menyatakan ia tidak ada rekod menunjukkan mereka ke luar negara.

Jamal dan Musa juga sudah disenaraihitamkan untuk keluar negara.

Sebelum ini media melaporkan seorang pengguna laman Facebook mendakwa melihat kelibat seorang lelaki seperti Musa di Stesen Keretapi St Pancras International, London yang kemudian memuat naik video.

Musa dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Sementara bagi Jamal, PDRM sudah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal tampil dan memberikan kerjasama berhubung siasatan dilakukan ke atas beliau – berita harian