KUALA KANGSAR: Industri pembuatan labu sayong yang bergiat aktif di Kampung Kepala Bendang, Sayong di sini, bukan sekadar mendapat tumpuan dari pengunjung domestik tetapi sudah pun mencuri tumpuan pelancong dan pencinta seni itu dari luar negara sebelum ini.

Bagaimanapun, Mohd Pareb Zamari, 42, yang merupakan generasi kelima meneruskan perusahaan kraf dan labu sayong milik keluarga ini mengakui bahawa pengusaha labu sayong di kampung tersebut turut terkena tempias sepanjang tiga bulan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Difahamkan industri labu sayong yang sudah bertapak di bandar DiRaja Kuala Kangsar hampir dua ratus tahun ini turut menjadi ‘trademark’ bagi pengusaha pakej pelancongan di Perak serta menjadi antara salah satu sumber pendapatan penduduk setempat.

Tetapi baginya, cara untuk bangkit semula meneruskan perniagaan ini adalah dengan merangka satu kreativiti baharu namun tidak menghilangkan keaslian dan keindahan dalam seni labu sayong.

“Kita dah rangka satu pakej bila pengunjung datang ke Kuala Kangsar, selain dia akan tengok kawasan di sini, mereka akan ke Sayong dan akan buat labu sayong. Di samping itu boleh juga tahu susur galur seni ini dan sejarah berkaitan kraf.

“Untuk labu sayong saya kurang promosikan pakai online disebabkan risiko untuk hantar melalui pos itu sangat tinggi, disebabkan ia mudah pecah kerana diperbuat dari tanah liat,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan bersama-sama isterinya.

Mohd Pareb yang sudah menjalankan perusahaan ini selama 25 tahun dan mengikuti kursus selama setahun dalam bidang itu di Jepun berkata, pembaharuan dalam penghasilan labu sayong penting bagi melonjakkan kembali industri yang dahulunya banyak bergantung kepada kunjungan pelancong luar negara.

“Biasanya saya akan buat satu kelainan, bagi saya bila orang buat benda yang sama agak susah nak pergi jauh.Tambah pula bengkel perusahaan saya ini di kawasan pendalaman. Apa pun kita kena rangka strategi baharu untuk lonjakkan semula pembuatan labu sayong,” ujarnya.

Katanya lagi, boleh dikatakan kebanyakan penduduk di Kampung Kepala Bendang mahir dalam pembuatan labo sayong dan mendapat jolokan kampung kraf dan labu sayong.

Ini dapat dilihat menerusi deretan kedai kecil yang menjual produk tersebut di sepanjang jalan masuk ke kampung berkenaan.

“Peranan labu sayong sebenarnya dia baik untuk kesihatan dan dalaman kita, malah ada juga labu sayong yang dijadikan tempat simpanan air dan bersifat menyejukkan tanpa perlu letak di dalam peti ais.

“Ramai pelancong dari luar negara yang datang sangat berminat untuk lihat sendiri proses pembuatan dan mahu bawa ia pulang, namun atas sebab saiznya (labu sayong) yang besar mungkin itu menjadi kekangan buat mereka,” katanya.

Sambil menambah sering menerima kunjungan dan rombongan dari pelajar sekolah sebelum ini, dia berkata semestinya ada tatacara baharu yang akan dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard yang sudah ditetapkan bagi pengunjung.

Mohd Pareb juga berharap pakej pelancongan baharu yang akan menggabungkan pelbagai industri kraf di kuala kangsar tidak lama lagi dapat menjadi pusat sehenti bagi para pencinta seni itu melihat dan mempelajari sendiri asal usul kraf tersebut.

“Sebelum ini mereka akan berkumpul ramai-ramai di bengkel ini untuk belajar hasilkan labu sayong dan hasil kraf lain, tetapi dengan SOP yang baharu disebabkan Covid-19 ini saya terpaksa kurangkan jumlah pengunjung yang ada dalam satu-satu masa.

“Mungkin suasananya tidak lagi seperti dulu, mereka boleh duduk dekat-dekat. Namun saya akan pastikan proses pembelajaran itu dapat dijalankan dengan baik, mudah-mudahan pengunjung dapat sesuaikan diri dengan normal baharu ini,” katanya