GERIK: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak pada Selasa kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 13 individu lain yang hadir bersama-sama mereka dalam jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong turut didenda jumlah yang sama.

Kesemua mereka mengaku bersalah apabila tuduhan terhadap mereka dibacakan bersama di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara sebulan jika mereka gagal membayar denda dan kesemua mereka membayar denda.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa berkumpul di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong kira-kira jam 6 petang 17 April lalu.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020 didenda mengikut Peraturan 11(1)

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Azhar Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amri Al Fikri Mohd Dasuki manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nor Zahari Ismail.

Pada 18 April, tular di media sosial gambar kedua-dua mereka dan beberapa individu hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong.