Daripada hiburan kepada sukan sehinggalah kepada saiz fizikal seseorang, Guinness World Record terus memberikan pengiktirafan kepada pencapaian yang menarik dan memberi inspirasi kepada masyarakat.

Terbaharu, seorang pekerja dari Hampshire, London memecah rekod dunia Guinness selepas menjadi pemandu bas paling pendek di dunia dengan ketinggian 136.2 sentimeter (4 kaki 5.6 inci).

Lelaki itu, Frank Faeek Hachem sebelum ini memandu kereta biasa selama lebih 20 tahun sebelum pada tahun 2017, dia nekad untuk mengambil lesen memandu bas.

Memetik Mirror.co.uk, tiada sebarang pengubahsuaian khas dibuat terhadap bas tersebut, sebaliknya Frank hanya mengubah tempat duduk dan stereng sebelum memulakan perjalanan dengan kenderaan berat itu.

Menurut jurucakap Guinness World Record, Frank begitu gembira bertemu dengan orang ramai dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat, setiap hari.

“Ini adalah sumber kebanggaan kepada dirinya, terutama sebagai pekerja sektor penting terutama sewaktu penularan wabak COVID-19,” kata jurucakap berkenaan.

Selain Frank, turut tersenarai dalam rekod tersebut ialah pemegang rekod British, Marco George yang memecah rekod membonceng motosikal paling laju dengan aksi ‘headstand’ pada kelajuan 122.59 kilometer/jam.

Sementara itu, Luke Roberts pula tersenarai dalam Guinness World Record selepas berjaya melatih tikusnya menyelesaikan 28 cakaran dan lapan lompatan melalui gelungan dalam tempoh 30 saat.