Klang: Lelaki berusia 26 tahun cedera di telapak tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki dengan parang dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Seri Medan, Teluk Panglima Garang, Banting, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Kejadian berlaku di belakang rumah mangsa ketika ibunya, Hanita Ahmad, 49, sedang menjemur kain.

Ketika itu, mangsa, Muhamad Shafiq Hisham, 26, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising motosikal dan jeritan ibunya.

Muhamad Shafiq berkata, lima lelaki yang menaiki tiga motosikal mendekati ibunya sebelum ibunya menjerit meminta tolong.

Bagaimanapun katanya, ibunya tidak mengalami kecederaan sebaliknya dia ditetak selepas cuba menahan serangan penjenayah itu.

“Ketika emak menjerit, saya terjaga sebelum berlari ke arahnya dan ketika sampai di pintu belakang rumah, seorang lelaki menghayunkan parang dan saya sempat menahannya dengan tangan kanan sebelum mereka melarikan diri,” katanya ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini tadi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa dibawa ke HTAR untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan mendapati nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek adalah palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397

Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata.

-myMetro