IPOH: Orang awam khususnya pengguna jalan raya menyambut baik inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membaiki dan menurap semula jalan-jalan di sekitar bandar raya ini yang dahulunya berlubang dan dibimbangi mendatangkan bahaya.


Kebanyakan mereka yang ditemui Suara Perak, memuji dan mengucapkan penghargaan kepada MBI yang telah memperuntukkan lebih RM27 juta bagi menurap dan membaiki jalan-jalan raya di sekitar Ipoh.


Pekerja kontrak, Muhammad Desa Taha, 27, berkata, dia menghargai usaha itu dan berharap MBI akan mempertimbangkan permintaan pengguna jalan raya untuk melebarkan jalan di kawasan Manjoi.


“Sebagai pengguna jalan raya, saya merasakan tindakan yang diambil oleh MBI ini adalah tepat kerana masalah jalan berlubang ini bukanlah isu baharu.


“Selain itu, saya berharap agar MBI juga dapat melebarkan lagi jalan raya di sekitar Manjoi kerana keadaan jalan raya yang sempit menyebabkan berlakunya kesesakan teruk terutamanya ketika waktu puncak,” katanya di sini, hari ini.


Muhammad Desa berkata, dia pernah mengalami kemalangan akibat terlanggar lubang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, baru-baru ini, yang menyebabkan dia mengalami kecederaan yang agak teruk di bahagian perut dan peha akibat terseret di permukaan jalan.

Muhammad Desa


Keadaan jalan yang berlubang dan tidak diturap dengan baik sebelum ini telah hangat diperbincangkan oleh wargakota Ipoh menerusi media sosial. Mereka memohon MBI segera memperbaiki keadaan jalan tersebut bagi kebaikan masyarakat.


Dalam pada itu, Ramli Senapi, 65, menyuarakan cadangan agar MBI dapat membaiki bonggol penghalang kelajuan di sekitar kawasan perumahan yang dilihat mampu mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal.


“Kebanyakan bonggol yang terdapat di sekitar kawasan perumahan terlalu tinggi dan boleh menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.


“Ianya juga berbahaya kepada penunggang motosikal terutamanya pada waktu malam kerana kebanyakan pengguna jalan raya tidak perasan adanya bonggol di situ,” katanya.


Ramli juga berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera demi keselamatan para pengguna jalan raya.

Ramli Senapi