PARIT BUNTAR – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian memperkenalkan inovasi program Anak Wawasan (Awas) yang menumpukan kepada segmen komuniti sekolah demi mengukuhkan sokongan komuniti dalam usaha memerangi dadah habis-habisan.

Pengasas program itu, Prof Dr Azemi Shaari berkata, program inovasi unik itu dijangka mampu memberikan pendidikan lebih berkesan di samping membantu mengesan kes penagihan dadah yang majoriti bermula peringkat sekolah.

Menurutnya, program itu menyasarkan guru-guru sekolah bagi memberikan penerangan fungsi dan tugasan AADK, jenis-jenis dadah dan kesan dadah kepada masyarakat dan negara

Katanya, guru antara golongan terawal dan terpenting dalam program ini kerana kumpulan itu dapat memberikan pendidikan pada skala komuniti lebih luas di samping mengesan pembabitan awal pelajar-pelajar dalam pengambilan dadah.

“AWAS menyasarkan guru-guru untuk diberikan penerangan mengenai fungsi AADK dan hal-hal lain berkaitan undang-undang, jenis-jenis dadah dan sebagainya.

“Mereka ini juga akan diminta menjadi ahli skuad bagi mengesan penglibatan awal pelajar yang terbabit dengan dadah seterusnya menyalurkan maklumat berkaitan ke pihak AADK untuk tindakan pemulihan,” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Kerian di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai AADK Kerian, Abdul Rahim Mohd Salleh dan Ikon Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) Kerian, Nizam Ramli.

Dr Azemi berkata, program AWAS ini diperkenalkan pada 9 Mac lalu dan sebanyak lapan sekolah di Kerian sudah mengikuti program ini melalui skim latihan dalam perkhidmatan (Ladap) yang diwajibkan ke atas guru-guru dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian

Menurutnya, penglibatan komuniti dari segala lapisan dan bidang amat penting dalam usaha memerangi dadah hingga ke akar umbi kerana AADK sendiri tidak mampu  melakukannya secara bersendirian.

“Untuk memerangi dadah hingga ke akar umbi, program Awas diperkenalkan di pelbagai peringkat komuniti bermula dari komuniti sekolah, tempat kerja, setempat, masyarakat dan akhirnya Orang Kena Pengawasan (OKP) bagi membanteras gejala tidak sihat ini secara menyeluruh.

“Program AWAS ini penting dalam menyedarkan masyarakat mengenai bahaya dadah ini.

“Di samping itu, masih ramai komuniti termasuk guru-guru sekolah yang tidak mengetahui kewujudan dan fungsi sebenar yang dimainkan AADK,” katanya.

Azemi berkata, program Awas turut merangka program khas kepada Orang Kena Pengawasan (OKP) dengan memberikan bantuan kepada mereka menjalankan sesebuah projek ekonomi supaya mereka tidak lagi kembali menagih – sinar