IPOH: EMPAT lelaki termasuk seorang pegawai dan dua anggota polis yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di rumah di Kampung Rapat, Ipoh, Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Pegawai polis berpangkat Inspektor berusia 43 tahun dan dua lagi anggota berpangkat Lans Koperal masing-masing berusia 27 dan 35 tahun serta seorang penganggur berusia 32 tahun dibebaskan selepas tempoh reman semua suspek tamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya memberi jaminan terhadap semua suspek berikutan kertas siasatan perlu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini polis belum memutuskan sama ada ketiga-tiga suspek yang bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu digantung tugas atau ditukarkan,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Difahamkan, dua lagi suspek iaitu seorang anggota polis dan bekas anggota tentera masih bebas.

Mohd Ali berkata, siasatan masih diteruskan meskipun mangsa berusia 54 tahun menarik laporan pada hari kejadian.

Katanya, dua suspek yang masih bebas melarikan diri dan belum dikesan sehingga kini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa bersama dua anaknya didatangi enam lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) mengakui diri mereka anggota polis sebelum memanjat pagar rumah mangsa.

Supek dipercayai mengugut dengan meminta wang daripada mangsa supaya dilepaskan daripada dibawa ke balai polis berikutan suspek menemui barang dipercayai dadah di rumah berkenaan sebelum menyamun mangsa membabitkan wang tunai berjumlah RM12,300. MyMetro