IPOH: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah sebanyak RM3,000 kira-kira enam tahun lalu.

Tertuduh, Sahrol Zaman Mohd Adom, 38, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Sahrol Zaman yang ketika itu, bertugas sebagai pegawai penyiasat, didakwa menerima wang tunai RM3,000 dengan tiada balasan daripada Choong Kian Weng melalui mesin deposit wang ke dalam akaun Maybank miliknya di Maybank Cawangan Silibin pada 12.01 tengahari pada 14 Mei 2014.

Kesalahan itu didakwa ada kaitan dengan urusan rasmi tertuduh yang ketika itu, bertanggungjawab menyiasat Choong Kian Weng dan Wu Jing mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sahrol Zaman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Pada prosiding sama, tertuduh turut dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah lain dihadapinya.

Terdahulu, Mohd Shahrullah Khan memohon mahkamah mengurangkan denda kerana tertuduh perlu menanggung dua anak kembar berusia 12 tahun dan ibu bapa mentua yang tidak bekerja.

Mahkamah turut memerintahkan wang RM6,000 milik tertuduh dilucut hak kepada kerajaan. – Berita Harian