PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan polis ditahan dalam satu serbuan Op Noda yang dilaksanakan oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sebuah pusat hiburan yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kelana Jaya awal pagi ini.

Ketua polis daerah berkenaan, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian serbuan sekitar 2.05 pagi itu, dua anggota polis rondaan MPV bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti telah menerima maklumat sebuah pusat hiburan masih beroperasi tengah malam di kawasan Kelana Jaya.

“Semasa pemeriksaan premis berkenaan masih beroperasi dan terdapat ramai pelanggan di dalam pusat hiburan itu.

“Ketika pemeriksaan seorang lelaki dipercayai pelanggan kelab berkenaan telah datang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan yang bertugas di Kontinjen Selangor dan berpangkat Inspektor.

Dalam kejadian itu pegawai kanan berkenaan telah membuat provokasi dengan cara menghina dan cuba mengugut anggota polis MPV yang sedang menjalankan tugas mereka.

“Pegawai polis kanan berkenaan kemudian telah ditahan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, dia kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan tempatan Jangkitan (no.7) Pindaan 2020.

“Hasil semakan lanjut polis mendapati pegawai berkenaan yang berusia 39 tahun itu masih bertugas di salah sebuah IPD di Kontinjen Selangor.

“Di sini sudi saya memberi peringatan keras kepada semua terutama sekali anggota PDRM dan agensi-agensi penguatkuasa agar terus berdisiplin dan tidak mengganggu petugas yang sedang melaksanakan tugasnya.

“Tindakan disiplin dan undang-undang sudah tentunya akan diambil tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” tegas Nik Ezanee