IPOH, 30 DIS: Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak (INTAP) hari ini melancarkan Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020.

Pengerusinya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kempen tersebut dilancarkan bagi menggalakkkan rakyat negeri menggunakan sumber air dan tenaga secara berhemah di samping mengelakkan pembaziran.

“Kempen ini dilancarkan tepat pada masanya, walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah ditamatkan namun impak ke atas ekonomi isi rumah yang terkesan akibat pandemik tersebut akan berterusan.

“Dianggarkan rakyat negeri Perak membayar lebih RM60 juta setiap bulan untuk bil tenaga dan air sepanjang tempoh PKP berbanding sebelumnya.

“INTAP menyasarkan untuk mengurangkan jumlah ini sebanyak 25 peratus selepas kempen ini dilancarkan pasca Covid-19 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurut Zolkafly, kempen itu akan dijalankan selama sebulan secara atas talian dengan pemberitahuan melalui media arus perdana dan media sosial bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) normal baharu.