PARIT BUNTAR: Lebih 1,000 orang guru dan murid tiga buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong, di sini menikmati perkhidmatan internet percuma.

Ahli Dewan Undangan Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, perkhidmatan itu diberi di bawah inisiatif Pusat Khidmat DUN Titi Serong dengan sokongan Telekom Malaysia.

Menurutnya tiga buah sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, Sekolah Kebangsaan Wawasan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St Mary yang terletak antara 200 hingga 300 meter antara satu sama lain.

“Dengan kelajuan minima
10 – 30mbps, ia sekaligus dapat meringankan bebanan tugasan guru yang berhadapan dengan kekangan kelajuan internet untuk memuatnaik rancangan pengajaran dan kertas kerja yang berkaitan,” katanya selepas melawat ketiga-tiga sekolah berkenaan, hari ini.

Hasnul berkata, pelajar akan dapat mengakses internet lebih laju ketika menjawap peperiksaan atas talian.

Beliau memberi contoh murid tahun 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan Wawasan menggunakan net book melalui akses internet WiFi rak@net_Parit Buntar.

“Maklum balas yang saya terima daripada Pengetua, Guru Besar dan para guru di sekolah berkenaan sangat positif dan mereka berharap agar diperluaskan lagi program Wifi percuma rak@net_Parit Buntar ini,” ujarnya.

Menurutnya, ibu bapa atau pelawat ke sekolah-sekolah berkenaan juga boleh mengakses perkhidmatan percuma itu ketika masuk ke kawasan sekolah.