IPOH: Ipoh Cultural Parade 2017 yang melibatkan 2,296 peserta diiktiraf Malaysia Book Of Recods (MBOR) sebagai perarakan terbesar di negara ini.

Rekod itu dicipta pada program yang berlangsung di Jalan Panglima Bukit Gantang berhampirab Dewan Bandaran di sini pada Ahad di hadapan ribuan pengunjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) itu sekaligus mengangkat dan mempopularkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama negara.

IMG-20170723-WA0010

“Kita amat berbangga kerana perarakan yang mengetengahkan keunikan budaya di Malaysia ini diiktiraf sebagai terbesar di negara.

“Kita mengambil pendekatan berbeza untuk adakan perarakan ini bagi menampilkan sesuatu yang unik sempena Tahun Melawat Perak dan syukur ianya mendapat sambutan amat memberangsangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berkenaan.

Turut hadir pada program itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunkasi dan Multimedia Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Presiden PCCCI Datuk Liew Sew Yee.

Dr Zambry memberitahu program itu mungkin akan dijadikan acara tahunan atau dwi tahunan.

“Kita harapkan agar program atau festival ini boleh diadakan sama ada setiap tahun atau dwi tahunan dan mungkin PCCCI serta persatuan-persatuan yang lain boleh bekerjasama untuk jayakannya.

“Ini kerana ia merupakan interpretasi sebenar keadaan di negeri ini yang mana kita semuanya hidup dalam keadaan harmoni dari segi agama serta budaya, jadi kita perlu tonjolkannya kepada orang ramai,” ujar beliau.

Perarakan yang bermula seawal jam 7.45 pagi itu melibatkan laluan sepanjang 2.8 kilometer di sekitar bandaraya Ipoh seperti Jalan S.P Senivasagam, Jalan Sultan Yusuf dan Jalan Sultan Idris Shah.

Program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri melalui Tourism Perak itu telah disertai oleh 53 kumpulan yang terdiri daripada sekolah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat persendirian.

Selain persembahan kreatif oleh setiap kumpulan, ia turut dimeriahkan dengan perarakan 120 buah kenderaan berhias yang terdiri daripada kumpulan kebudayaan, kesenian dan pelbagai lagi.

Sementara itu, Liew memberitahu program berkenaan dianjurkan sempena ulang tahun ke-110 dewan perniagaan itu.

“Selain itu ia juga sebagai salah satu langkah kita dalam usaha mengekalkan peningkatan kedatangan pelancong domestik tertinggi di negeri ini.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi kerjasama penuh untuk menjayakannya,” ujar beliau.