IPOH: Cadangan untuk menjadikan Ipoh amnya dan negeri Perak khususnya sebagai pusat utama acara sukan, dilihat sebagai melengkapi kemudahan sedia ada seperti di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, jika impian itu dapat direalisasikan, ia mampu memberi pilihan kepada para penggiat sukan untuk mengambil bahagian serta menggunakan kemudahan sukan di negeri ini.

“Kita mahu jadikan Ipoh dan Perak sebagai pusat acara sukan, bukan sahaja di peringkat negeri malah kebangsaan dan antarabangsa, ini kita akan susun atur dengan baik bagi membolehkan segala fasiliti yang ditambahbaik dapat digunakan sepenuhnya.

“Saya fikir ianya melengkapkan, selain Ipoh memberi pilihan kepada orang ramai, sebagai contoh ramai yang di Lembah Klang yang berminat dengan e-Sport, apabila ia diadakan di sini (Ipoh), kosnya lebih rendah.

“Untuk sukan lasak, di bandar Ipoh sesuai dengan rock climbing, water rafting, jika dapat diberikan kemudahan sama seperti Bukit Jalil, kita memberi pilihan kepada penggiat sukan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Anugerah Media SUKMA Perak 2018 di Pusat Media Kompleks Sukan di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee.

Sementara itu, Ahmad Faizal mahu prasarana sukan yang sedia ada bagi penganjuran SUKMA di Perak dapat diselia dan digunakan selepas program sukan ini berakhir.

“Saya sudah lihat semua fasiliti yang ada dan saya amat berbangga kerana banyak telah ditambahbaik, tetapi saya ingin ianya digunakan.

“Untuk ianya digunakan pula perlu penyelenggaraan yang baik, pastikan banyak acara diadakan dan seluruh kawasan ini menjadi ‘hidup’ dengan acara sukan serta perdagangan sukan iaitu jualan barangan sukan,” ujarnya.

Mengulas mengenai perjalanan SUKMA 2018 di Perak, beliau berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada kontinjen yang datang ke negeri ini.

“Apa yang saya bimbangkan apa kata tetamu (kontinjen negeri lain), para petugas media yang datang dari jauh untuk membuat liputan ini, apabila saya berjumpa dengan kontinjen, mereka memberi maklumbalas begitu baik.

“Walaupun sedikit kecewa dengan kegagalan Perak mencapai sasaran pingat dan gagal jadi juara, namun saya bersyukur kerana Perak sekali lagi merangkul ibu segala pingat iaitu bola sepak,” katanya lagi.