IPOH: Ketika Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menangguhkan pendaftaran dan pembelajaran secara bersemuka, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran mewujudkan pusat pembelajaran di Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terdapat di negeri-negeri.

Exco Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Tina Tajuddin berkata, selain mengurangkan mobiliti penuntut ke negeri-negeri lain bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19, langkah itu juga dapat memastikan kelangsungan pendidikan penuntut IPTA.

Menurutnya, cadangan itu memerlukan kerjasama strategik antara KPT, IPTA dan IPTS kerana isu COVID-19 mungkin akan berlanjutan sekurang-kurangnya sehingga tahun hadapan.

“Kita tidak boleh tunggu, kita pwrlu mengambil langkah ke hadapan supaya mahasiswa tidak tertinggal.

“Kita bercakap pasal masa depan negara, apa akan berlaku kalau ada pelajar tidak sambung pengajian kerana kita bimbang, kalau disuruh balik, mereka akan terus balik.

“Kemungkinan banyak lagi masalah akan timbul seperti psikologi dan kurang berminat untuk belajar,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tina berkata, jika isu itu tidak dipandang serius, dibimbangi ia akan dalam memberi kesan negatif kepada seluruh industri, termasuk institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, buat masa ini terdapat kira-kira 400 IPTS di seluruh negara yang kebanyakkannya mempunyai kemudahan yang boleh dimanfaatkan sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Beliau berpendapat, cadangan itu juga membolehkan percampuran model pembelajaran antara secara bersemuka dan atas talian boleh dilakukan.

“Maksudnya 30 peratus sahaja kita kekalkan untuk perjumpaan, manakala selebihnya secara atas talian sebab tidak dapat dinafikan kita tidak boleh hanya berikan 100 peratus pembelajaran secara atas talian, apatah lagi kepada pelajar-pelajar baharu.

“Berdasarkan pengalaman kami, pelajar-pelajar baharu memang tidak bersedia kerana sistem ini belum menjadi budaya mereka,” ujarnya.