PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad ditahan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 20 Ogos depan bagi membantu siasatan kes salah guna kedudukan berhubung pembelian hotel mewah di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) pada 2014 hingga 2015.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamaruddin memberi kebenaran tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan Isa Samad di siasat Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau yang juga Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira pukul 9.08 pagi dengan memakai baju berwarna jingga turut disambut kira-kira 100 ahli keluarga dan penyokong termasuk petugas media.

Turut menanti ketibaan sejak pukul 8 pagi tadi ialah isteri Isa Samad, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang kelihatan sebak apabila beliau tiba di pekarangan kompleks mahkamah tersebut.

Beliau turut diwakili seramai tujuh orang peguam yang diketuai oleh Datuk K. Kumaraendran yang meminta supaya Isa Samad dibebaskan kerana mempunyai penyakit jantung selain telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan SPRM. – K! ONLINE