IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar dapat mengisi segera jawatan-jawatan yang telah diluluskan di dalam waran sebelum ini.

Ini kerana ada di antara jabatan yang hanya mencapai pengisian jawatan antara 85 peratus sehingga 92 peratus, bukan diisi seratus peratus.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, pengisian itu perlu dilakukan lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa saiz penjawat awam di seluruh negara tetap dikekalkan meskipun sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dilaksanakan.

“CUEPACS minta supaya pengisian ni dapat memberi ruang kepada rakyat bekerja dalam perkhidmatan kerajaan pada masa yang sama sistem penyampaian kerajaan secara sentuhan terus daripada pegawai kerajaan kepada rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau ditemui selepas ucaptama di Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perak (KESOJA) kali ke-3 di Ipoh pada Khamis.

Pada masa sama CUEPACS mengulangi permohonan agar JPA memansuhkan arahan untuk jabatan mengurangkan saiz perkhidmatan sebanyak lima peratus.

Adnan berkata, dengan pengumuman Perdana Menteri itu, bermakna pekeliling tersebut tidak lagi relevan dan perlu dimansuhkan.

Pada 30 Ogos lalu, Muhyiddin ketika memberi jaminan itu berkata, penjawat awam masih diperlukan untuk melakukan tugas-tugas lain bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Dalam pada itu, Adnan berkata,
CUEPACS berharap kerajaan juga dapat memberi pertimbangan khas untuk melantik semula pekerja kontrak yang ditamatkan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Menurutnya, jumlah mereka yang terlibat adalah sekitar 55,000 orang.

Katanya, antara yang terlibat ialah bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Seranta Felda.

“Semua pekerja kontrak di jabatan yang sebelum ini telah pun ditamatkan kerana perubahan sebuah kerajaan perlulah diambil semula bekerja dalam perkhidmatan kerajaan untuk bekerja sebagai kontrak dan kemudiannya boleh diletakkan sebagai pekerja tetap.

“Jadi CUEPACS merayulah agar kerajaan melihat perkara ini secara keutamaan untuk memberi ruang mereka kembali bekerja yang mereka ini telahpun sengsara lebih daripada dua tahun berikutan penamatan berikutan perubahan kerajaan yang ada,” ujarnya.

Buat masa terdapat kira-kira 20,000 penjawat awam kontrak di jabatan serta agensi tertentu di seluruh negara.