MELAKA: Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 20 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sempena sambutan ulang tahun ke-71.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr Hasim Hasan berkata Ismail Sabri akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain Ismail Sabri, beliau berkata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad turut menerima darjah sama namun kedua-dua menteri berkenaan tidak dapat hadir ke istiadat penganugerahan itu kerana sedang menjalani kuarantin.

“Tiga lagi penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Firuz Jafril dan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamed Farid Abu Hasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hasim berkata, empat individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira dan diberikan kepada Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Sazali Muhd Din @ Muhamad Din; Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin; Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik, Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Beliau menambah, tujuh individu pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, M Ravi; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Rahmad Mariman dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

“Selain itu, Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ismail Ali, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Melaka, Abd Kadir Md Idris dan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Kamarudin Sidek,” katanya.

Katanya, empat individu pula dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran datuk iaitu Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis, Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Dr Norhayati Rusli, Ketua Jabatan Pengurusan PDRM SAC, Shaharon Anuar Abdul Latif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Shadan Othman.

Istiadat penganugerahan berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini membabitkan empat sesi iaitu hari ini dan Ahad manakala sesi ketiga dan keempat pada 30 Oktober dan 1 November depan.

Sebelum istiadat hari ini, Yang Dipertua Negeri akan berkenan menerima tabik hormat, memeriksa perbarisan dan kawalan kehormatan anggota Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Mahkota Johor yang diketuai Mejar Mohd Zainul Ariffin Zainal Abidin.

Istiadat akan diiringi oleh Pancaragam Iringan dari Batalion Ke-2 Kor Armor Di-Raja.

Sebanyak 17 das tembakan meriam akan dilepaskan dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri bin Che Wil.

Di samping istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri, kerajaan negeri turut mengaturkan beberapa program lain seperti majlis bacaan Yasin dan doa kesyukuran, khutbah khas, majlis makan malam negeri, kuliah Dhuha dan Sambutan Maulidur Rasul pada 20 Oktober ini di Auditorium Masjid Al-Azim.