KUALA LUMPUR: Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) memperkenalkan versi baharu portal Repositori Pengetahuan Kewangan Islam (I-FIKR 2.0), hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pada Forum Sarjana Syariah Antarabangsa Ke-13 (ISSF 2018) anjuran ISRA serta Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI) sempena sambutan ulang tahun ke-10 ISRA.

Pengarah Eksekutif ISRA, Prof Dr Mohamad Akram Laldin, berkata I-FIKR adalah portal sehenti berfungsi sebagai platform mudah yang menyediakan sumber dan bahan rujukan berkaitan fatwa, artikel dan buku mengenai kewangan Islam.

Beliau berkata, portal terbabit yang kali pertama dilancarkan pada 2012 oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, menyediakan penerbitan berkaitan kewangan Islam oleh ISRA, namun ia dirombak baru-baru ini berikutan peningkatan permintaan terhadap bahan rujukan itu.

“Selaras tuntutan dan pendigitalan teknologi, kami mengambil keputusan mengubah portal bagi menjadikannya lebih bermaklumat, interaktif dan paling berkesan untuk semua rujukan pembiayaan Islam,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ISSF 2018, di sini.

Mohamad Akram berkata, portal itu bukan sahaja menyediakan akses terhadap bahan rujukan tempatan tetapi juga antarabangsa yang berkredibiliti seperti fatwa kewangan dan kertas penyelidikan untuk rujukan.

“Apa sahaja yang anda ingin tahu mengenai kewangan Islam, termasuk terma dan syarat, semuanya ada dalam portal ini.

“Portal ini juga berbentuk interaktif yang mana pelayar boleh bertanya sebarang soalan secara dalam talian dan dijawab oleh pakar kewangan Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar, menggalakkan orang ramai memanfaatkan I-FIKR bagi meningkatkan tahap pengetahuan, kebijaksanaan dan keupayaan untuk menjadi antara sarjana serta penyelidik syariah terbaik di dunia.

Pengenalan I-FIKR seiring rancangan strategik BNM seperti digariskan dalam pelan Hala Tuju Sektor Kewangan 2011-2020 untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pengetahuan, pendidikan dan latihan kewangan Islam.

Ia dijangka meningkatkan pengetahuan kewangan Islam dan memperbaiki institusi kewangan Islam untuk memanfaatkan pengguna, pengamal, pelajar, ahli akademik, penyelidik serta orang awam – berita harian