IPOH 24 Nov – Isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi hari ini menziarahi keluarga seorang kanak-kanak yang dikhuatiri dihanyutkan arus deras Sungai Chepor.

Dr. Nomee yang mewakili suaminya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menziarahi keluarga Mohammad Deniss Ramadhan Amar Fizry, 10, di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor, Chemor di sini.

Dalam lawatan tersebut,  beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mohammad Deniss dan  memberi sumbangan kepada mereka.

Dr. Nomee berkata, beliau berasa sangat terharu sebaik sahaja menerima berita mengenai tragedi yang menimpa adik Mohammad Deniss.

“Setakat ini, saya dimaklumkan pihak bomba dan polis masih meneruskan pencarian untuk mencari mangsa.

“Marilah kita sama-sama mendoakan  agar adik Mohammad Deniss dapat segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya kepada media.

Dalam kejadian pada jam 10.20 pagi tadi, Mohammad Deniss dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika sedang bermain-main dengan empat orang rakannya.

Sementara itu, Dr Nomee turut meninjau ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan petugas keselamatan yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa. 

Seterusnya, beliau melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terkesan akibat banjir yang melanda.

Hujan lebat yang melanda di Perak semenjak Rabu lalu telah menyebabkan berlakunya banjir di beberapa tempat di sekitar daerah Kinta.

Bagaimanapun,  tiada Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka di Chemor kerana keadaan banjir di kawasan tersebut tidak begitu serius.