BACHOK – Isteri kepada seorang pekebun yang dipercayai membunuh bayi lelakinya berusia lapan bulan dengan kesan lumuran garam kasar kelmarin juga didapati terlibat dengan ajaran sesat.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, siasatan terhadap wanita berusia 32 tahun itu mendapati dia terpengaruh dengan kegiatan suaminya.

“Selain itu, ibu kepada bayi itu kelihatan seperti tidak bersedih dengan kehilangan anaknya. Dia hanya ingat dan lebih sayangkan suaminya yang kini direman selama tujuh hari.

“Kita percaya wanita itu terlibat dengan ajaran sesat apabila dia juga mendakwa dipengaruhi bisikan luar sewaktu kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Shafien, wanita terbabit juga telah direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan akan dilakukan terhadap wanita terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, siasatan lanjut ke atas seorang pekebun yang membunuh anak lelakinya berusia lapan bulan kelmarin mendapati suspek melakukan perbuatan kejam itu selepas mendakwa mendengar bisikan malaikat.

Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek berusia 40 tahun itu terlibat dengan ajaran sesat, namun masih menjalankan siasatan sama ada dia mengikutnya secara berkumpulan atau sendirian.

Selain itu, suspek juga terpaksa diusung oleh enam orang anggota polis untuk masuk ke Mahkamah Majistret Bachok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan bayi lelakinya.

Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes itu. – K! ONLINE