IPOH: Seorang lelaki warga Indonesia maut setelah dihempap sisa runtuhan dinding rumah dalam binaan ketika sedang menjalankan kerja pembersihan runtuhan stuktur rumah di Taman Silibin Indah, Jalan Silibin di sini pada petang Selasa.

Mangsa yang dikenali sebagai Junaidi Razak, 40, meninggal dunia di tempat kejadian selepas rumah teres itu runtuh di bahagian belakang.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Azmi Osman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil maklumat yang kita peroleh mendapati mangsa sedang menjalankan kerja pembersihan di kawasan dapur, iaitu kawasan runtuhan di bahagian belakang.

“Kerana sebelum ini pun sememangnya terdapat runtuhan yang melibatkan stuktur bahagian dapur,    apabila dia melaksanakan tugas-tugas pembersihan itu, berlaku pula runtuhan bangunan di mana dinding di bahagian belakang itu telah menghempapnya.

“Proses mengeluarkan mangsa mengambil masa 5 minit dan bahagian badan dihempap pula ialah di kepala dan badan, mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Ujarnya lagi, runtuhan itu juga ada kaitan dengan insiden isu hakisan tanah yang berlaku kepada lapan buah rumah di Taman Silibin Indah yang mendapat liputan media sebelum ini.

Dalam pada itu, saksi kejadian yang juga pemilik rumah tersebut, Moses James, 59 berkata ketika kejadian dia sedang minum petang bersama pekerja lain di rumah tersebut.

“Ketika berbual tiba-tiba terdengar satu bunyi kuat dan saya terus berlari ke bahagian belakang rumah dan melihat dinding sudah runtuh dan mangsa sudah ada di bawah runtuhan.

“Saya dan yang lain cuba minta bantuan dari semua orang dan mengeluarkan mangsa sebelum menghubungi pasukan penyelamat,” katanya.

Terdahulu, isu hakisan tanah di Taman Silibin Indah ini turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida dalam kenyataannya hari ini meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan secara teliti mengenai rungutan penduduk Taman Silibin Indah di Ipoh mengenai isu hakisan tanah berhampiran kediaman mereka kerana didakwa masih tiada tindakan susulan sejak kejadian itu berlaku pada 14 Mei lalu.

Zuraida bagaimanapun berkata, pihak penguatkuasa MBI perlu meneliti terlebih dahulu sama ada tanah kediaman itu tanah pemilikan sendiri, kerajaan negeri atau tanah milik MBI sebelum sesuatu tindakan diambil.