PARIT BUNTAR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak berhak memanggil mana-mana individu dirasakan penting bagi menjawab isu berkenaan Perbadanan Menteri Besar(MB Inc) tanpa perlu merujuk Dun.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tindakan Jawatankuasa PAC Perak memanggil bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim untuk sesi pendengaran awam dijadualkan 23 November ini adalah melalui beberapa syarat diperuntukkan kepada mereka.

Menurutnya, perkara sama turut berlaku di peringkat Parlimen apabila Jawatankuasa PAC negara berhak memanggil bekas perdana menteri dan isteri, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji serta bekas Timbalan Perdana Menteri bagi tujuan siasatan daripada laporan salah laku diterima.

“Mereka(Jawatankuasa PAC) tidak perlu merujuk kepada sesiapa kerana kuasa diberikan kepada mereka untuk memanggil sesiapa sahaja tanpa perlu rujuk Parlimen. Kalau peringkat negeri, Jawatankuasa PAC Perak tidak perlu rujuk kepada Dun kalau sekiranya ada terima laporan berhubung salah laku mana-mana agensi kerajaan daripada mana-mana pihak.

“Melalui kenyataan direkod (pada sesi pendengaran awam dibuat), Jawatankuasa PAC perlu membuat kajian sebelum sesuatu isu dimajukan kepada pihak tertentu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan ke kilang syarikat pembuatan elektronik, AEL Engineering Sdn Bhd di kawasan perindustrian Parit Buntar di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri akan membantu mempercepatkan permohonan syarikat AEL Engineering Sdn Bhd untuk memajak dan membangunkan sebahagian tanah milik kerajaan pusat seluas 1 hektar.

Menurutnya, permohonan pajakan tanah terbabit sudah dikemukakan syarikat berkenaan bagi tujuan pengembangan perusahaan perniagaan meliputi pembinaan komponen elektronik, perubatan dan automobil untuk dieksport ke negara luar.

“AEL Engineering Sdn Bhd berhasrat menambah pelaburan RM20 hingga RM25 juta dalam tempoh lima tahun untuk tujuan pengembangan perusahaan di kawasan tanah dipajak.

“Pelan pengembangan itu dijangka akan melibatkan penambahan pekerja sebanyak 60 orang di mana kawasan pengembangan perusahaan meliputi gudang, tempat simpanan peralatan kilang dan tempat parkir kenderaan untuk kemudahaan kakitangan,” katanya.

Mohammad Nizar berkata, syarikat berkenaan sudah mengemukakan permohonan itu kepada kerajaan negeri pada 31 Oktober lalu.

“Ketika ini, mereka sedang memproses permohonan itu dalam melihat perkara-perkara yang perlu dipenuhi sebagai syarat kelulusan termasuk memdapatkan kelulusan kerajaan pusat.

“Cuma kerajaan negeri berjanji akan sedaya upaya membantu mempercepatkan proses itu supaya kesemua agensi kerajaan berkaitan dapat bekerjasama menyelesaikannya segera dan syarikat berkenaan akan lebih banyak membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,”katanya – sinar