KUALA LUMPUR: Kabinet akan membincangkan isu pengambilan pekerja asing dari Nepal, Jumaat ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, antara perkara utama bakal dibincangkan ialah pembabitan sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan urusan pengambilan pekerja dari negara itu.

“Apa yang menjadi isu ialah penyumberan luar yang dilakukan syarikat terbabit.

“Kita akan menyemak perkara ini dan tindakan perlu diambil jika didapati berlaku penyelewengan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-UMNO Kuala Krau) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ismail ingin mengetahui sama ada penarikan balik kelulusan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menjadi faktor keengganan kerajaan Nepal menghantar rakyatnya bekerja di Malaysia.

Laporan sebelum ini menyebut, beberapa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik di Malaysia mengaut keuntungan hasil urusan pengambilan pekerja asing.

Syarikat yang dinyatakan itu dikatakan mengenakan bayaran tinggi bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan dan kesihatan sebagai antara keperluan visa.

Mengikut perangkaan, Kulasegaran berkata, Jabatan Imigresen mengeluarkan sebanyak 1,747,154 PLKS setakat 20 Jun lalu, dengan 378,577 adalah bagi warga Nepal.

Beliau yakin isu itu dapat diatasi dengan penyelesaian yang saling memanfaatkan.

“Banyak syarikat Malaysia suka mengambil warga Nepal kerana mereka jujur bekerja, rajin dan menepati masa,” katanya – berita harian