IPOH: Status situasi penyakit anjing gila atau rabies akan terus dipantau secara berkala melalui program survelan yang giat dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sekiranya terdapat pengasingan Lyssavirus, status itu akan digantung semula dan pewartaan akan diteruskan.

“Penarikan balik warta tidak digalakkan dalam masa terdekat memandangkan punca kuasa semua aktiviti kawalan penyakit rabies terkandung dalam pewartaan tersebut.

“Kawasan itu juga merupakan kawasan yang baru dikenalpasti dan tempoh pengawasan serta kawalan mengambil masa bagi memastikan ia benar-benar bebas dari ancaman rabies,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salbiah Mohamed (BN-Temengor) mengenai tempoh penarikan balik perintah pewartaan kawasan jangkitan rabies.

Dr Mah menambah, Indeks Penyakit (IP) bagi kawasan Larut Matang dan Selama juga dikategorikan sebagai IP Aktif.

“Bagi kes di Kuala Sepetang, pengaktifan ini merangkumi kawasan seluas 10 km radius dari tempat kejadian penyakit,” katanya.

Proses penarikan balik hanya akan diambil setelah mendapati tiada sebarang kes tempatan dikesan, sama ada membabitkan haiwan mahupun manusia dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, ujarnya.

Beliau menjelaskan, langkah penarikan pewartaan kawasan terjangkit juga mengikut langkah pengurusan indeks seperti IP Kawalan, IP Pulih dan IP Bebas.