KUALA KANGSAR: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak akan memanfaatkan sepenuhnya kajian dan penyelidikan ahli akademik dan pelajar pasca siswazah bagi penghakiman kes membabitkan isu semasa di mahkamah syariah di seluruh negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid, berkata kepakaran mereka diyakini dapat memantapkan kriteria pembukuan jurnal perundangan dan kehakiman Syariah supaya memenuhi piawaian antarabangsa, melalui usaha sama secara dua hala.

Hal ini katanya disebabkan kebanyakan isu yang berlegar di mahkamah syariah adalah baharu dan memerlukan penyelidikan mendalam.

“Misalnya kes penderaan secara mental di mana kajian mendalam diperlukan untuk menentukan sejauh mana atau huraian lanjut mengenai sesuatu perkara yang boleh dianggap penderaan mental sebelum hukuman dapat dijatuhkan.

“Hasil penulisan akademik dalam perundangan dan kehakiman syariah terutamanya yang disertakan dengan laporan kes mahkamah syariah boleh dijadikan rujukan kepada pelajar, pensyarah, pengkaji, pengamal undang-undang seluruh negara, mahupun masyarakat awam,” katanya dalam sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara jabatan itu dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di universiti itu, hari ini.

Turut hadir Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Khalil Yahya; dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi.

Asa’ari berkata, bagi pembukuan jurnal, bantuan ahli akademik selain pelajar pascasiswazah diperlukan supaya sesuatu keputusan penghakiman dapat dirangkumkan dengan melalui proses tambah baik berpandukan keperluan.

“Ia diharapkan memenuhi piawaian antarabangsa supaya terjamin mutu dan kualitinya,” katanya.

Tambahnya, simbiosis sebegini yang turut membabitkan kerjasama dalam bidang latihan dan pembangunan program pembelajaran secara berterusan juga bermatlamat membangunkan profesionalisme dalam kalangan pegawai mahkamah mahupun bagi pihak USAS. – BH