IPOH: Jabatan Kesihatan Perak telah diarahkan menyiasat dakwaan seorang pesakit sebuah Hospital milik kerajaan di sini dilayan dengan biadap serta dihidangkan dengan makanan yang berulat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru Datuk Dr Mah Hang Soon berkata siasatan tersebut diarahkan bagi memastikan dakwaan berkenaan benar-benar berlaku atau sebaliknya.

“Kita kena berhati-hati dengan dakwaan begini kerana ianya amat serius, sekiranya benar ia berlaku tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Namun sekiranya ia tidak berlaku dan ada pihak-pihak yang sengaja membuat tuduhan ini, kita juga akan ambil tindakan tegas terhadap individu-individu berkenaan” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Rabu.

Dr Mah turut mengesa individu yang melaporkan perkara berkenaan di laman sosial baru-baru untuk menghubungi pihak beliau atau Jabatan Kesihatan Negeri secepat mungkin.

“Saya minta anak individu berkenaan yang mendakwa dilayan dengan biadap itu untuk hubungi kita untuk selesaikan perkara ini.

“Saya harap perkara ini dapat disiasat secara telus dan adil kerana ini sesuatu yang amat serius dan kita tidak akan melindungi mana-mana pihak,” ujar beliau.

Baru-baru ini seorang pengguna media sosial telah mendakwa bapanya yang dimasukkan ke dalam sebuah hospital milik kerajaan di sini dilayan dengan biadap.

“Mereka hidang makanan tengah hari dan bapa saya beritahu mereka ada ulat di dalam makanan itu.

“Namun jururawat itu beritahu ‘tunggu sampai diorang kutip pinggan, kalau tak nak makan, turun makan di kantin’ kepada bapa saya, adakah ini cara dia melayan bapa saya” dakwa beliau.