PETALING JAYA : Jabatan Ketua Menteri Sabah menafikan Shafie Apdal menghantar wakil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong yang kemudiannya tidak diterima Istana Negara.

“Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal telah hadir ke Istana Negara petang tadi dan melakukan perkara seperti yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen lain,” menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Akhbar dan Penerbitan Jabatan Ketua Menteri Sabah malam ini.

Terdahulu, seorang pegawai istana dilaporkan berkata, Istana Negara tidak mahu menerima setiausaha sulit kanan Shafie yang mewakilinya untuk menghadap Agong tentang penubuhan kerajaan baru.

“Perlu ada batang tubuh sendiri untuk hadir, tidak boleh wakilkan kepada mana-mana pihak. Dia ada hantar wakil pada petang ini tapi ia tidak dianggap sah.”

Selain Shafie, pegawai itu berkata, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz juga tidak menghadap Agong.

Nazri difahamkan berada di luar negara.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menemu bual satu persatu 220 daripada 222 ahli Parlimen sejak semalam, susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lalu.