KLANG: Pusat Media Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Selangor yang ditempatkan Wisma Persekutuan Klang, di dibuka kepada semua petugas media, setiap hari hingga 9 Mei ini.

Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Norbaya Jamaludin, berkata pusat media itu menyediakan beberapa kemudahan untuk pengamal media menyiapkan laporan berita dan tugasan berkaitan PRU-14.

“Di sini, kami sediakan empat unit komputer, kemudahan wi-fi, minuman ringan, surau dan tempat letak kereta percuma. Pusat yang dilengkapi pendingin hawa ini boleh memuatkan sehingga 10 orang dalam satu-satu masa.

“Pusat media ini dikendalikan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Latif, dibantu empat kakitangan, yang bersedia membantu petugas media.

“Pusat media ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam,” katanya pada sidang media selepas kunjungan media, hari ini.

Yang turut hadir, Wan Ahmad Nizam dan Pegawai Penerangan Daerah Klang, Ahmad Shariff.

Norbaya berkata, pusat media itu terletak berhampiran empat pusat penamaan calon dan penjumlahan undi di daerah itu iaitu Parlimen Kota Raja, Kapar, Klang dan Shah Alam.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan maklumat berkaitan pilihan raya yang lalu, senarai calon dan pergerakan mereka, jumlah dan peratusan pengundi mengikut kaum serta peta mengikut parlimen – berita harian