IPOH: Pasukan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Perak bersama-sama Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung berjaya menggagalkan cubaan menceroboh di Hutan Simpan Bukit Kinta Daerah Kinta Manjung pada Ahad lepas.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak pada Selasa, pasukan penguatkuasa telah menemui satu laluan penolakan jalan di sebahagian Kompartmen 212 Hutan Simpan Bukit Kinta sejauh lebih kurang 600 meter, melalui jalan kebun bunga di Strawberry Park, Cameron Highlands.

“Maklumat pencerobohan ini dijalankan melalui risikan dan pemantauan yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

“Pasukan Penguatkuasa telah menemui sebuah excavator jenama Yanmar kira – kira 900 meter dari laluan masuk dan terletak di dalam kawasan buffer – zone sempadan negeri Perak – Pahang.

“Pemandu jentera tersebut telah melarikan diri semasa serbuan dibuat, mesin jentera itu disita dan dibawa keluar dan diletakkan di Stor Rampasan Jabatan di Pusing untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Jabatan Perhutanan Negeri Perak,” katanya.

Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tanah Rata berhubung penemuan kes ini.

Ujarnya, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menyiasat dan menangkap suspek-suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket ini kerana telah menceroboh sempadan negeri Perak dan menjalankan aktiviti penerokaan secara haram bagi tujuan pertanian.

“Kesalahan yang boleh didakwa ke atas suspek yang disyaki melakukan aktiviti ini ialah di bawah Seksyen 81(1) (e) dan Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Yang mana dinyatakan mana-mana orang yang melanggar kedua-dua seksyen ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi daripada tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Justeru itu, Jabatan Perhutanan Negeri Perak memberi peringatan kepada orang awam bahawa pihaknya akan tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.