IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) akan terus meningkatkan kecekapan pasukan risikan bagi mengesan dan mendapatkan maklumat terhadap aktiviti pencerobohan hutan serta penerokaan haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop, pihaknya kini turut mempertingkatkan keupayaan ‘war room’ yang berfungsi untuk mengesan dengan lebih cepat melalui imej satelit terhadap sebarang perubahan dirian hutan yang berlaku di HSK.

Katanya, JPNPk akan memperkasakan Skuad Dron dengan menambah perolehan dron baharu yang lebih terkini dan berteknologi tinggi dalam memastikan kecekapan dalam aspek penguatkuasaan hutan melalui udara.

“Sehingga November 2019, sebanyak 56 kes kesalahan hutan berjaya dikesan dan diambil tindakan lanjut di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Antara kesalahan hutan yang telah diambil tindakan oleh JPNPk adalah membawa hasil hutan tanpa kebenaran, penerokaan HSK tanpa kebenaran, memasuki HSK tanpa kebenaran, pemilikan hasil hutan tanpa kebenaran dan lain-lain aktiviti yang dilarang dijalankan di HSK

“JPNPk telah berjaya membuat kutipan bayaran kesalahan hutan melalui kompaun dan gantirugi kesalahan hutan sebanyak RM 1,036,823,”katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, pada tahun 2019, seramai 69 orang telah ditahan dan ditangkap melibatkan pelbagai kesalahan hutan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

“Sepanjang tahun itu juga, lapan kes kesalahan hutan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (1), Ipoh, Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar dan Mahkamah Sesyen Taiping yang melibatkan kesalahan pencerobohan HSK, menduduki dan memasuki HSK tanpa kebenaran dan kesalahan memiliki hasil hutan tanpa kebenaran,”katanya.

Ujarnya, JPNPk turut menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hutan melalui udara dengan penggunaan helikopter di lima daerah pentadbiran hutan di Perak Selatan, Larut Matang,Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta Manjung.

“Hasil tinjauan yang dijalankan berjaya mengenalpasti kawasan pencerobohan baru di dalam HSK yang tidak dapat dikesan menggunakan jalan darat.

“JPNPk telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan telah melaksanakan aktiviti tanaman semula pokok – pokok hutan di kawasan tersebut,” katanya.

Sepanjang tahun 2019, JPNPk berjaya melaksanakan 9 Operasi Penguatkuasaan Hutan Bersepadu yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan negeri Perak seperti PDRM, Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian, Pasukan Gerakan Am, PERHILITAN, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah