KERIAN, 3 Dis: Jabatan Pertanian Negeri Perak melancarkan Projek Pertanian Bandar di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) 2020 bagi menggalakkan masyarakat berani untuk keperluan sendiri.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, di bawah inisiatif itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 untuk disalurkan kepada 577 pemohon individu dan 43 komuniti di seluruh Perak.


Katanya, usaha itu adalah sebagai menyahut seruan kerajaan pusat untuk meningkatkan jaminan bekalan makanan selain memupuk kelaziman baharu dalam aktiviti berkebun untuk sara diri rakyat.


“Program ini merangkumi insentif seperti sistem mini fertigasi, sistem hidroponik, nutripot dan lain-lain yang berkaitan mengikut kesesuaian lokasi pemohon.


“Ia juga bertujuan untuk menggalakkan masyarakat menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di halaman rumah.


“Usaha ini bukan sahaja membantu menghijaukan bumi kita, malahan memberi pulangan kepada para pengusaha untuk mengurangkan perbelanjaan dapur, seterusnya menurunkan kos sara hidup,” katanya.


Beliau berucap demikian ketika merasmikan Projek Pertanian Bandar PENJANA Negeri Perak di pekarangan Pejabat Pertanian Daerah Kerian di sini, hari ini.

Abdul Yunus berharap agar usaha itu dapat menyemai dan menarik minat masyarakat untuk menceburi bidang pertanian.


Dalam pada itu, Abdul Yunus turut memaklumkan berita gembira mengenai pemberian bantuan sebanyak RM87,873 kepada 36 petani di daerah Kerian yang terjejas berikutan penularan Covid-19.


Katanya, bantuan itu diberikan di bawah Projek Khas Tani Covid-19 yang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada November lalu.
Menurut beliau, di bawah program itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM0.856 juta untuk menyediakan pakej bantuan berupa input pertanian seperti baja dan racun.


Tambah Abdul Yunus, program tersebut akan memberi manfaat kepada 318 petani di seluruh negeri Perak.