Oleh: Mohd.Shafiq Noordin

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Aidilfitri hendaklah dijadikan platform untuk menghormati kewujudan kepelbagaian di negara ini dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama, kaum dan budaya.

Baginda bertitah, sambutan Aidilfitri seharusnya membuktikan sifat persaudaraan umat Islam dan sifat kemanusiaan yang tidak bermusuh sesama insan.

“Pancarkan sifat persaudaraan dan sifat kemanusiaan bersama fajar Aidilfitri. Sambutlah Aidilfitri dalam semangat menghargai nikmat kurniaan Ilahi serta berpandukan sunnah Rasul.

“Kunjungilah sanak saudara dan sahabat handai, di samping menerima kunjungan para tetamu dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan,” titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri 1438H.

Sultan Nazrin turut berpesan, dalam keriangan menyambut Aidilfitri, umat Islam seharusnya mengenang nasib hampir 60 juta saudara seagama yang sedang menumpang di pusat-pusat pelarian di serata dunia.

“Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, insaflah! Terdapat hampir 60 juta umat Islam sedang menumpang tinggal di pusat-pusat pelarian di  serata dunia, memohon doa kepada ILAHI dan memohon ihsan manusia sejagat untuk mereka dapat berpeluang hidup bernegara secara normal.

“Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, insaflah! Di sekeliling kita masih terdapat golongan yang berada dalam kemiskinan, berkongsilah kemewahan rezeki yang dikurniakan Ilahi dengan memperbanyakkan amalan sedekah,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menyeru umat Islam menghargai pengorbanan dan perkhidmatan disediakan oleh pelbagai pihak yang membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman di dalam negara Ini.

“Para anggota polis, tentera, bomba, penjara, imigresen, kastam; kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen.

“Semoga pengorbanan mereka diterima oleh Allah sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh, diberatkan timbangan amal ketika berada di Padang Mahsyar,” titah baginda.