MELAKA : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis perlu membayar RM10 juta kepada PKR kerana bertindak keluar parti walaupun setakat ini belum ada perisytiharan rasmi oleh ADUN terbabit mengenai tindakan itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik, berkata bayaran itu berdasarkan perjanjian antara semua ADUN dan Ahli Parlimen PKR ketika mereka dipilih sebagai calon mewakili parti berkenaan dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei dua tahun 2018.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Muhammad Jailani berhadapan dengan tindakan undang-undang yang bakal diambil oleh PKR Pusat,” katanya.

Muhammad Jailani juga EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka.

Halim berkata, walaupun setakat ini ADUN berkenaan belum membuat perisytiharan rasmi keluar PKR, beliau secara peribadi menyifatkan tindakan Muhammad Jailani menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai isyarat jelas sudah berbuat demikian.

Bagaimanapun, PKR Pusat setakat ini tidak memecat ADUN terbabit, malah belum memanggilnya untuk memberi penjelasan berhubung tindakan menyokong PN semalam.

“Semua ADUN dan Ahli Parlimen PKR diwajibkan membayar RM10 juta kalau keluar parti tetapi jika mereka dipecat, tidak perlu bayar, ” katanya pada sidang media bersama Pengerusi PH, Adly Zahari di Ibu Pejabat AMANAH di Bukit Katil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew.

Semalam Muhammad Jailani dan ADUN DAP Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dilaporkan hadir dalam sidang media Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh mengenai keyakinan PN membentuk kerajaan negeri yang baharu menggantikan PH. -BH