IPOH – Susulan peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di daerah kecil Pengkalan Hulu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menetapkan jumlah jemaah bagi solat fardu dan solat Jumaat hanya melibatkan 13 orang berkuat kuasa hari ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, arahan tersebut perlu dipatuhi oleh semua masjid, surau diri Jumaat dan surau di daerah kecil Pengkalan Hulu.

“Bagi solat fardu, tidak boleh melebihi 13 orang jemaah yang hanya terdiri daripada imam, bilal, siak yang bertugas dan jawatankuasa kariah yang berumur tidak melebihi 60 tahun dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Solat Jumaat pula, jemaah tidak melebihi 13 orang dan tidak kurang empat orang termasuk imam, khatib dan jawatankuasa kariah yang berumur tidak melebihi 60 tahun dengan penjarakan satu meter antara jemaah,” katanya menerusi satu surat yang dimuat naik di dalam Facebook rasmi JAIPk hari ini.

Mohd Yusop berkata, tiga surau yang diberikan kebenaran sementara untuk solat Jumaat sebelum ini iaitu Surau Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18, Surau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu dan Surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Saban tidak lagi dibenarkan mendirikan solat Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, susulan itu juga, sebarang aktiviti pengimarahan, kelas pengajian dan kemasyarakatan turut tidak dibenarkan.

Katanya, semua pihak terutama ahli kariah masjid, surau diri Jumaat dan surau di daerah kecil Pengkalan Hulu diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Semalam, Perak mencatatkan satu kluster baharu iaitu Bah Pengkalan melibatkan daerah Hulu Perak membabitkan enam kes positif Covid-19.

Kes indeks bagi kluster berkenaan telah dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah.

Kes yang dikesan positif Covid-19 pada 8 Oktober 2020 telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan saringan kontak rapat mengenal pasti lima lagi kes positif Covid-19.

Bagi kluster tersebut, sehingga jam 12 tengah hari semalam, sejumlah 330 individu telah disaring dengan enam daripadanya dikesan positif Covid-19, 47 individu negatif dan 277 individu masih menunggu keputusan.