SUNGAI SIPUT: Keadaan jalan persekutuan di laluan Sungai Siput ke Kuala Kangsar memerlukan penambahbaikan segera untuk mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan.

Datuk Zolkafly Harun (BN – Lintang) berkata, kerosakan tersebut meliputi jalan utama dan perindustrian sejauh 45 kilometer itu turut menjadi semakin teruk kebelakangan ini.

Menurut beliau, keadaan jalan tidak berturap dan beberapa tempat berlubang telah berlarutan selama lima hingga enam tahun, malah menjadi teruk disebabkan laluan trak muatan berat di kawasan berkenaan.

“Dalam parlimen Sungai Siput ada tiga jalan iaitu Jalan Sungai Siput – Kuala Kangsar sepanjang 21 kilometer, Jalan Felda Lasah sepanjang 16 kilometer dan jalan-jalan perindustrian sejauh 4 kilometer dan ini merupakan anggaran umum sahaja.

“Kesemua ini perlu dinaiktaraf dan memerlukan sekitar RM20 juta, sebagai contoh “alignment” perlu dilakukan di jalan persekutuan di Kampung Setia, infrastruktur jalan perlu ditambahbaik di samping struktur jalan yang tidak dapat menampung berat muatan kenderaan,” katanya kepada Suara Perak.

Jelasnya, jalan-jalan berkenaan digunakan sebagai alternatif khusus ketika kesesakan dan kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan( PLUS) bagi pengguna sampai ke Kuala Kangsar dan lokasi-lokasi lain justeru peruntukan pembaikan jalan adalah amat mustahak.

Katanya, selain daripada keadaan jalan dan infrastruktur yang kurang diselenggara juga menyebabkan banjir kilat mudah berlaku, contohnya “culvert” kecil yang tidak dapat menampung air di bahagian Salak Utara.

“Saya mohon agar perkara ini dilihat dengan segera dan peruntukan dapat diberikan kerana ianya melibatkan kelicinan lalu lintas, ketersediaan kita untuk Tahun Melawat Perak bagi yang menggunakan laluan alternatif selain keselamatan pengguna jalan, ini yang paling penting, lakukan sesuatu sebelum ianya terlambat,” ujarnya lagi.

Zolkafly berkata, pihaknya juga telah mendapatkan pandangan serta anggaran kerosakan dengan pihak Jabatan Kerja Raya serta pihak berkaitan untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan efektif.