Slim River, 25 DIS : Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh dari Tanjung Malim-Sungkai mengalami peningkatan jumlah kenderaan luar biasa berikutan cuti umum sempena sambutan Hari Natal di seluruh negara.

Kesesakan itu berlaku kira-kira lima kilometer (km) berdekatan jalan masuk Maktab Rendah Sains Mara FELDA ( MRSMF) Trolak.

Keadaan ini berlaku apabila jalan arah utara yang sebelum ini mempunyai dua lorong hanya tinggal satu lorong sahaja disebabkan kerja pembaikan jalan.

Peningkatan jumlah kenderaan juga disebabkan ramai pemandu keluar dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dengan menggunakan Plaza Tol Tanjung Malim, Behrang dan Slim River bagi mengelak kesesakan di lebuh raya.

Sementara itu, trafik di Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan Hentian Ladang Bikam juga mengalami sedikit kesesakan apabila terdapat banyak kenderaan masuk keluar di hentian terbabit.

Di samping itu, kesesakan juga berlaku berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah. – HARIAN METRO