IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bahawa Jalan Simpang Pulai – Cameron Highland yang dikatakan berlaku runtuhan cerun, selamat untuk digunakan.

Gambar yang tular di media sosial kononnya berlaku cerun runtuh di Jalan Persekutuan Ft 185 Simpang Pulai – Cameron Highland adalah gambar-gambar lama yang dimuat naik semula.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, beliau sendiri telah meninjau kawasan berkenaan bersama-sama Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Roslan Abd Ghani sebaik sahaja melihat gambar-gambar yang tular.

Menurutnya, memang terdapat runtuhan kecil berpunca hakisan air hujan dan bentuk muka bumi yang berbukit dan lembah, tetapi tidaklah seteruk seperti yang ditularkan.

“Kerajaan negeri Perak dengan ini memberi jaminan bahawa Jalan Persekutuan Ft 185 Simpang Pulai – Cameron Hoghland adalah selamat digunakan. Kerajaan negeri melalui agensi teknikal seperti JKR akan terus memantau secara mendalam berkenaan keadaan cerun tersebut.

“Pihak kerajaan negeri Perak juga berharap rakyat untuk lebih bertanggungjawab untuk tidak menular gambar-gambar atau berita tidak benar yang akan menimbulkan keresahan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau ditemui di pejabatnya di Ipoh pada Rabu selepas melakukan tinjauan di kawasan yang didakwa berlaku runtuhan.

Menurutnya, kawasan runtuhan lama itu yang panjangnya kira-kira 500 meter telah dibaikpulih menggunakan teknik ‘tie back wall’ dan ‘micropile slab’ sejak beberapa tahun lalu.

Mohd Zolkafly berkata, di samping pemantauan setiap tiga jam oleh pihak JKR, kerajaan negeri Perak juga akan memohon peruntukan RM120 juta untuk membaiki lagi cerun dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas ((RMK-12).

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berhenti untuk mengambil gambar di kawasan tersebut kerana ia boleh mengundang bahaya.