KUALA LUMPUR: Usaha polis memburu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, masih diteruskan hari ini termasuk meminta bantuan Jabatan Imigresen.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata operasi memburu Jamal yang dilakukan sejak petang semalam diteruskan hari ini, namun sehingga kini dia masih gagal dikesan.

“Kita masih mencari dia dan usaha pencarian terus dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ditanya sama ada polis turut meminta bantuan pihak Jabatan Imigresen, Fadzil hanya mengiyakan perkara itu tanpa mengulas lanjut.

Ditanya mengenai kesahihan lesen senjata api yang dimiliki Jamal, beliau mengesahkan Jamal memang mempunyai lesen berkenaan namun tidak dapat dipastikan sama ada lesen itu masih sah atau sudah dibatalkan.

“Ia di luar bidang kuasa saya,” kata Fadzil.

Sementara itu, peguam mewakili Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin, memberitahu pihaknya juga masih gagal menghubungi anak guamnya sejak dia menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri dekat sini, petang semalam.

“Kita sudah menghubungi ahli keluarganya yang lain serta rakan-rakan rapat beliau untuk mengetahui sama ada mereka mengetahui di mana Jamal berada dan kita masih menunggu maklum balas mereka.

“Buat masa ini beliau (Jamal) belum dapat dihubungi, namun saya percaya dia masih berada di dalam negara,” kata beliau ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sebelum itu, Mohd Imran menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi, percaya berlaku masalah komunikasi antaranya dengan anak guamnya itu.

 

Beliau berkata, anak guamnya mungkin beranggapan proses ikat jamin atas tuduhannya sudah sempurna sebelum keluar dari hospital berkenaan.

Semalam, Jamal, 48, terpaksa didakwa di wad hospital pakar atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak tahun lalu kerana sedang menerima rawatan berikutan sakit belakang.

Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang, namun peguam Jamal mendakwa dia didapati hilang sejak jam 3 petang selepas kesnya didengar Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin dan diberi jaminan RM3,000.

Susulan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang melakukan operasi sekatan jalan raya bagi mengesan Jamal.

Pihak polis turut memaklumkan, Jamal didakwa atas tiga pertuduhan semalam dan pihak Majistret menawarkan ikat jamin RM3,000 untuk setiap kes.

Rabu lalu, dia turut direman tiga hari selepas di tahan di hospital terbabit bagi membantu siasatan berhubung gambarnya mempamer senjata api yang dimuat naik dalam laman sosial sehingga menjadi viral – berita harian