KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mendapat layanan baik sepanjang dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia selepas ditahan di Jakarta, Isnin lalu dan dijangka tiba di Malaysia pada jam 2 petang hari ini.

Malah, Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) dan Imigresen Indonesia turut selesai mengambil keterangan terhadap Pengerusi Gerakan Baju Merah itu, selain proses dokumentasi perjalanan beliau ke negara itu.

Peguam Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau melantik peguam di Indonesia, Adherie Zulfikri bagi menguruskan penahanan Jamal ekoran berlainan bidang kuasa dan sistem perundangan.

“Selepas mendapat makluman penahanan Datuk Seri Jamal pada 2 Julai lalu, saya berlepas ke Jakarta, Indonesia pada keesokannya.

“Oleh kerana berlainan bidang kuasa dan sistem perundangan, saya berhubung dengan rakan peguam di sana Adherie Zulfikri dan melantik beliau sebagai peguam yang mewakili Datuk Seri Jamal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau turut pergi ke Polda (Pejabat Polis Daerah) Metro Jaya, Jakarta yang menjadi tempat Jamal ditahan sebelum berpeluang bertemu dengannya menerusi bantuan Adherie.

“Datuk Seri Jamal dalam keadaan sihat walaupun kelihatan sedikit letih dan dijaga dengan baik oleh pihak Polda Metro Jaya. Saya juga dimaklumkan pihak Polda menyediakan segala keperluan beliau termasuk ubat-ubatan.

“Selesai proses merakam keterangan dan dokumentasi di Polda Metro Jaya, jam kurang 9.15 malam (waktu Indonesia), beliau (Jamal) dibawa ke Imigresen Indonesia untuk proses dokumentasi.

“Pada 4 Julai, beliau dibantu Adherie di Imigresen Indonesia untuk proses merakam keterangan dan siasatan sebelum dibawa semula ke Polda Metro Jaya. Saya juga dimaklumkan rakan peguam bahawa beliau akan dihantar pulang pada hari ini,” katanya.

Mohd Imran berkata, beliau dimaklumkan rakan peguam bahawa pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di Jakarta untuk proses penyerahan Jamal, hari ini.

“Datuk Seri Jamal berlepas dari Jakarta ke Kuala Lumpur dengan pesawat MH710 pada jam 11 pagi tadi (waktu Indonesia).

“Saya dan keluarga Datuk Seri Jamal mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada pihak POLRI, Imigresen Republik Indonesia, Kedutaan Malaysia dan Adherie yang membantu sepanjang Datuk Seri Jamal ditahan,” katanya – hmetro